EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika berucap merasmikan Kolokium Prospek Kerjaya Dalam Bidang Perundangan dan Kehakiman Syariah bersama Pelajar Institut Pengajian Tinggi Selangor 2022 di Hotel Tenera, Bangi pada 3 Disember 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Akur syarat ceramah di masjid perlu tauliah, elak jadi tempat sebar ideologi

SHAH ALAM, 3 MAC: Agamawan dan asatizah diminta akur dengan ketetapan negeri ini yang hanya membenarkan individu bertauliah menyampaikan ceramah di masjid dan surau.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata penceramah sama ada dari dalam atau luar negeri ini perlu akur dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung perkara tersebut.

“Semua pihak dinasihatkan mematuhi garis panduan ditetapkan dan tidak mempertikaikannya dengan pemahaman mengikut selera dan kehendak masing-masing.

“Ini penting bagi menjaga keharmonian dan kesucian Islam serta institusi diraja sebagai payung agama Islam negeri,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zawawi berkata pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor akan memastikan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terus dijunjung dan dipelihara bagi mengelakkan Islam menjadi bahan penyebaran ideologi pihak tertentu.

“Saya menyeru muslimin dan muslimat untuk bersama-sama mengimarahkan masjid dan menjadikannya sebagai simbol perpaduan dan persaudaraan ummah seperti dititahkan Sultan Selangor,” katanya.

Semalam Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya program memakmurkan masjid seperti ceramah, kuliah dan tazkirah hanya disampaikan individu yang memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor.

Baginda bertitah penceramah luar negara pula hanya diberi kebenaran di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya sahaja.

Tuanku turut mengingatkan bahawa masjid perlu bebas pengaruh dan elemen politik bagi mengelak jurang pemisah yang berpunca daripada perbezaan fahaman.


Pengarang :