DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan beramah mesra bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) selepas Istiadat Pembukaan Persidangan penggal keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 13 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Ketua agama Islam setuju masjid jadi pusat penyatuan ummah

SHAH ALAM, 13 MAC: Semua ketua agama Islam negara ini bersetuju menjadikan masjid dan surau sebagai pusat penyatuan ummah dan bukannya medan menyebarkan ideologi politik.

EXCO agama berkata pemerintah negeri lain menyambut baik titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selain mengambil keputusan hampir sama berhubung keperluan tauliah kepada semua pendakwah.

“Ketua agama Islam di Malaysia bersetuju bahawa institusi masjid dan surau tidak boleh dijadikan medan untuk berpolitik dan mengembangkan ideologi atau fahaman tertentu hingga mengundang kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Justeru, selaku EXCO Agama Islam Selangor, saya mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih titah Baginda yang tegas dan berpandangan jauh dalam usaha menyatupadukan ummah ini semasa istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi kenyataan.

Beliau turut menasihatkan semua individu bersikap terbuka dengan garis panduan ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) demi mengelak berlaku perpecahan umat Islam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa bimbang budaya menjadikan masjid dan surau sebagai medan propaganda politik kepartian akan memecahbelahkan umat Islam khususnya orang Melayu.

“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya,” titah Baginda.


Pengarang :