EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau melawat kaunter agensi pekerjaan menerusi Program Penempatan Pekerjaan 2022 di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak pada 22 Mei 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Perkasa unit berdaya pekerja, pastikan kumpulan sasar dapat kerja

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkasa bidang kuasa Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bagi membantu kumpulan sasar mendapat tempat dalam pasaran kerja.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau menjelaskan tiada keperluan mendesak untuk mewujudkan Majlis Penasihat Buruh Negeri bagi mengatasi masalah terbabit.

“Memadai untuk kita memperkasa UPPS sedia ada. Bagaimanapun, perkara ini perlu disemak dan diteliti mengikut kesesuaian peredaran masa dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Ditubuhkan pada 8 September 2021, UPPS berperanan membantu pekerja di Selangor yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19 untuk mendapatkan kembali pekerjaan yang sesuai bagi menempuh kehidupan mendatang.

Ganabatirau menambah, unit berkenaan sentiasa bersedia bekerjasama dengan kongres terbabit termasuk Jabatan Tenaga Kerja bagi mempergiat program membantu kumpulan sasar mendapat kerja.

Pada 14 Mac lalu, wakit rakyat Kota Damansara mencadangkan penubuhan majlis penasihat berkenaan sebagai pengantara dalam memastikan undang-undang buruh sedia ada dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Shatiri Mansor turut mengusulkan supaya hubungan UPPS dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia diperkukuh bagi memberi manfaat kepada rakyat.

 


Pengarang :