EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail membuat siaran langsung di Facebook ketika melawat rerurai pempamer Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Usahawan digalak teroka bidang francais, belajar cara pasar jenama produk

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Usahawan Selangor digalak meneroka bidang francais bagi mengembangkan modul perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata sektor tersebut mempunyai potensi luas untuk usahawan memajukan serta mengembangkan jenama perniagaan.

“Tahun ini, kita cuba fokus untuk usahawan lihat dan teroka modul perniagaan lain dan tidak tertumpu hanya kepada modul sedia ada seperti konsep ejen dan sebagainya.

“Usahawan terutama Bumiputera tidak boleh takut, mereka harus cuba teroka bidang francais. Untuk itu kita akan adakan usahasama dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas melawat gerai pameran pada Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata usahawan juga perlu mempunyai matlamat untuk berjaya di peringkat antarabangsa bukan hanya tempatan.

“Kepada usahawan, kita mahu mereka berjaya hingga ke peringkat antarabangsa bukan hanya tempatan disebabkan itu kita sangat galakkan untuk mereka teroka modul perniagaan lain,” katanya.

Selhac yang mengangkat tema ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’ diadakan sejak Jumaat lalu dan berakhir hari ini mengumpulkan kira-kira 200 pempamer.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (berdiri tengah) bergambar bersama peniaga dari Selangor selepas melawat rerurai pempamer Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :