Pemain Harimau Malaya Muhamad Akhyar Abdul Rashid meraikan jaringan bersama Mohamad Faisal Abdul Halim pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Harimau Malaya menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Mac 2023. Keputusan, Harimau Malaya 2-0 Hong Kong. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Faisal lega tamatkan kemarau gol, bantu Malaysia benam Hong Kong 2-0

ISKANDAR PUTERI, 29 MAC: Pemain sayap negara Mohamad Faisal Abdul Halim akhirnya menamatkan kemarau gol selepas berjaya mencetak nama sebagai seorang daripada penjaring ketika membantu Malaysia menewaskan Hong Kong 2-0 di sini, malam tadi.

Mohamad Faisal yang sebelum ini mengakui tertekan apabila masih belum berjaya menamatkan badi tanpa jaringan, menzahirkan rasa lega dan menganggap ia sebagai permulaan dalam usaha beliau meningkatkan prestasi ke tahap terbaik.

“Sedikit lega tetapi ini adalah permulaan yang baik untuk diri saya sebenarnya. Saya perlu tambah lagi usaha serta perbaiki apa yang kurang dan gol pada malam ini sedikit sebanyak bantu semangat saya untuk teruskan rentak dan sentuhan jaringan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga dan isteri yang sentiasa berdoa, (serta) peminat yang begitu ramai memberi kata-kata semangat dan paling penting rakan sepasukan yang pastikan saya tidak berasa kecewa,” katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong di sini, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, jaringan di babak pertama oleh Mohamad Faisal dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid memastikan Malaysia menewaskan Hong Kong buat kali kedua berturut-turut selepas menang 2-0 pada aksi berstatus sama di Kuala Lumpur pada Jun tahun lepas.

Pemain Selangor berusia 25 tahun itu yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ sebelum ini buntu untuk mencipta jaringan bersama Gergasi Merah dalam lima aksi pertama Liga Super 2023 setakat ini dan kemarau gol ditamatkan pada perlawanan persahabatan antarabangsa malam tadi.

Sementara itu, Mohamad Faisal berkata semua pemain memahami kehendak ketua jurulatih Kim Pan Gon yang mahukan persembahan yang berkualiti dan berintensiti tinggi, namun memerlukan sedikit masa lagi untuk mencapai sasaran itu.

Beliau berkata sesuatu perkara tidak boleh dielak apabila pemain yang hadir menjalani latihan berbeza dan memerlukan masa untuk mengadaptasi corak permainan yang dipamerkan oleh setiap pemain.

“Mungkin ada ketika tidak mencapai apa yang jurulatih mahukan tetapi kita dapat menjalankan tangunggjawab yang baik selepas meraih dua kemenangan pada perlawanan antarabangsa sekali gus meningkatkan lagi motivasi setiap pemain.

“Apa pun, ia belum yang terbaik untuk skuad kebangsaan kerana kita perlu banyak melakukan penambahbaikan dan semua pemain perlu bekerja keras dan tidak boleh menoleh ke belakang malah harus terus bangkit dengan kualiti permainan yang lebih berintensiti tinggi,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :