EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Garis panduan pemakaian Batik Selangor dibentang tidak lama lagi

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri sedang memperhalusi garis panduan pemakaian Batik Selangor dalam kalangan penjawat awam, yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata usaha bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) bagi memastikan pemakaian batik bermotif bunga tanjung terus diperluas.

“Usaha memperkenalkan Batik Selangor ini satu langkah yang tepat dalam menaikkan industri batik dengan adanya identiti dan motif yang tersendiri,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei dan ADN Rawang Chua Wei Kiat berhubung rancangan terbaharu Batik Selangor di sini hari ini.

Borhan menambah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Padat akan bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor bagi menyediakan latihan batik secara tradisional.

Beliau yang juga ADN Tanjung Sepat berkata Institut Kraf Negara di Taman Templer, Rawang pula akan dijadikan sebagai pusat inkubator bagi penghasilan batik blok untuk Batik Selangor.

“Kerajaan Negeri yakin Institut Kraf Negara akan sentiasa meneroka teknologi terkini yang menitik beratkan kelestarian alam sekitar dengan pemilihan bahan mesra alam,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung berkelopak sembilan sebagai simbolik kepada sembilan daerah di negeri ini.


Pengarang :