PBTSELANGOR

Hadiah wang tunai RM28,000 nanti pemenang fotografi MBSA

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 16 MAC: Pertandingan Fotografi Shah Alam 2023 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM28,000 beserta sijil kepada pemenang.

Pertandingan tahunan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu dibuka semalam sehingga 30 September ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memaklumkan pertandingan terbuka kepada warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan ia terbahagi kepada empat kategori iaitu bangunan atau mercu tanda, alam semula jadi, gaya hidup serta pemandangan malam.

“Peserta hendaklah mengambil foto di tempat menarik sekitar kawasan Shah Alam seperti lokasi pelancongan, bangunan, monumen, tasik, taman atau landskap.

“Pemenang dinilai melalui beberapa aspek berdasarkan tema, komposisi keaslian, kreativiti dan aplikasi teknik fotografi yang terbaik,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya tempat pertama bagi setiap kategori akan memenangi wang tunai RM3,000, tempat kedua (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan saguhati untuk lima pemenang (RM200).

Katanya borang pertandingan boleh dimuat turun secara atas talian di portal MBSA www.mbsa.gov.my atau diambil di Tingkat 16, Bahagian Korporat & Perhubungan Awam, Wisma MBSA Seksyen 14 Shah Alam.

Untuk pertanyaan boleh hubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1250 atau 1431.


Pengarang :