Penyanyi Baby Shima. Foto Facebook Baby Shima
AGENDANASIONAL

Hael Husaini, Baby Shima hiburkan pengunjung di jelajah bantuan Sepang

SHAH ALAM, 9 MAC: Persembahan artis terkenal antara acara menarik menanti pengunjung di Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) peringkat Sepang, Sabtu ini.

Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memaklumkan program bermula 9 pagi hingga 5 petang itu diadakan di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Puchong.

“Antara artis terkenal yang bakal memeriahkan JKSP di Sepang ialah Hael Husaini dan Baby Shima.

“Jom semua ramai-ramai ke program JKSP di Sepang. Pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda sertai,” katanya di Facebook hari ini.

JKSP yang dijenamakan semula daripada program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) tahun lalu mula membuka tirainya di Klang dan Hulu Selangor pada bulan lalu.

Jelajah bantuan ini menjadi pendekatan Kerajaan Negeri untuk menghebahkan 44 program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) kepada rakyat.

Program ISP disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat menerusi peruntukan RM600 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Pakej bantuan rakyat itu menggariskan enam inisiatif iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor, Iltizam Kesihatan Selangor, Iltizam Pendidikan Selangor, Iltizam Perumahan Selangor, Iltizam Keusahawanan Selangor dan Iltizam Mesra Anak Selangor.


Pengarang :