Peniaga, Nor Hidayah John, 34 bersama suami, Afiq Alaudin Shah, 32, sedang membungkus ikan bilis kepada peniaga ketika majlis Perasmikan Pasar PJ@Kita Sri Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 200,000 usahawan gulung tikar gara-gara Covid-19

SHAH ALAM, 14 MAC: Seramai 193,409 usahawan di seluruh negara terpaksa gulung tikar akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 sepanjang 2020 hingga tahun lalu.

Menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata dampak jangka panjang wabak itu selain kenaikan harga barang antara punca utama menyumbang kepada perkara tersebut.

Bagaimanapun, Datuk Ewon Benedick memaklumkan kebanyakan usahawan terbabit bersedia memulakan semula perniagaan melalui bantuan geran, pembiayaan, latihan dan bimbingan.

“Kementerian terus komited membina kelangsungan momentum pemulihan sektor keusahawanan melalui intervensi bersasar melalui 185 program, yang dijangka memanfaatkan lebih 543,080 usahawan.

“Program libat urus secara bersemuka juga ditingkatkan untuk lebih responsif terhadap keluhan usahawan di lapangan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan efektif,” katanya menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen.

Dalam pada itu, Ewon berkata kerajaan bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu usahawan yang berdepan masalah pengurusan kewangan serta berisiko muflis.

Beliau menjelaskan seramai 664 usahawan diberi kesedaran berhubung ketersediaan peluang kedua dengan 40 daripadanya dipilih untuk mengikuti program bimbingan khas selama empat bulan.

 


Pengarang :