Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad menyerahkan bantuan kembali ke sekolah kepada 120 murid kalangan keluarga B40 dan asnaf di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 6 Mac 2023. Foto Facebook Pekawanis
AGENDANASIONAL

Hampir RM200,000 bantuan kembali ke sekolah diperuntukkan Pekawanis tahun ini

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 8 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memberi sumbangan kelengkapan sekolah kepada 120 murid terpilih sempena program kembali ke sekolah tahun ini (Back To School 2023).

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program tahunan itu bertujuan meringankan beban keluarga khususnya dalam kalangan B40 dan asnaf untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak mereka.

“Pekawanis menyediakan RM3,000 untuk diagihkan kepada 20 penerima (murid sekolah) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen.

“Sebanyak 35 DUN dan parlimen bersetuju menjalankan program ini dan hari ini (kelmarin) program disertai penerima antaranya DUN Sungai Tua, Batang Kali, Lembah Jaya, Sementa dan Taman Medan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan program kembali ke sekolah Pekawanis di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini Isnin lepas.


Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad bersama antara murid yang menerima bantuan kembali ke sekolah di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 6 Mac 2023. Foto Facebook Pekawanis

Masdiana berkata pihaknya menyediakan peruntukan RM105,000 kepada 35 DUN dan parlimen tahun ini.

“Jumlah ini hanya sebahagian daripada program awal bagi tujuan bantuan persekolahan.

“Sebahagian lagi akan diperuntukkan untuk menjalankan program motivasi, kepimpinan, seminar atau teknik menjawab kertas peperiksaan serta aktiviti lain yang dapat memberi perkembangan positif pembelajaran anak-anak.

“Cadangan menjalankan program ini dijadual pertengahan tahun nanti. Sebanyak RM2,000 diperuntukkan untuk melaksanakan program tersebut,” katanya.

Beliau berkata program yang dirancang itu juga disertai 35 DUN dan parlimen dengan peruntukan RM70,000.


Pengarang :