Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri konvensyen tahunan DAP Selangor di Klang pada 26 Mac 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

HARAPAN terima sokongan Melayu, berpeluang tawan utara Selangor

KLANG, 26 MAC: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor yakin menerima banyak sokongan pengundi Melayu berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-15.

Memberi contoh kemenangan HARAPAN di Parlimen Gombak dan Ampang, Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata undi orang Melayu juga tinggi di beberapa kawasan lain.

“Pencapaian kita di sesetengah kawasan juga mencapai undi Melayu agak tinggi. HARAPAN mencatat undi Melayu agak besar.

“Kalau tidak (undi Melayu tinggi), kita tidak akan menang di Gombak dan Ampang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri konvensyen tahunan DAP Selangor hari ini.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar menjelaskan kerjasama HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) peringkat negeri pula memperkukuh peluang untuk memenangi kerusi di bahagian utara Selangor.

Katanya, kerjasama tersebut dijangka bakal mengekal kemenangan Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu dan berpeluang menang DUN Batang Kali dan Ulu Bernam.

“DUN Kuala Kubu Bharu, kita boleh menang majoriti besar tetapi ada kekurangan di Batang Kali dan Ulu Berbam. Saya rasa boleh diperbaiki dengan kewujudan kerajaan perpaduan,” katanya.

PRN dijangka berlangsung hujung Julai, beberapa minggu selepas Dewan Negeri Selangor
(DNS) terbubar berikutan mandat sedia ada berakhir 25 Jun jika tiada pembubaran awal.


Pengarang :