Naib Presiden KEADILAN Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan penggulungan ketika Kongres Nasional Khas KEADILAN 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN yakin pertahan tiga negeri, ajak rakyat tolak politik kebencian

SHAH ALAM, 18 MAC: Dato’ Seri Amirudin Shari yakin Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu mempertahankan penguasaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Malah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata kemenangan juga akan diperoleh dengan majoriti lebih besar di tiga negeri berkenaan.

“HARAPAN juga tidak mustahil menawan Kedah, Kelantan dan Terengganu (ditadbir Perikatan Nasional – PN) sekiranya semua pihak membantu memberi penerangan lengkap ke peringkat akar umbi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Khas KEADILAN di Stadium Malawati di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata HARAPAN juga perlu memberi penjelasan supaya rakyat tidak terkeliru dengan pendekatan pihak pembangkang yang memperalatkan Islam dan membawa politik kebencian.

“Lawan kita telah ambil langkah nasionalisme yang sesat dengan membawa pendekatan tersebut. Mereka ini sama seperti Donald Trump (mantan presiden Amerika Syarikat), bawa politik kebencian kepada imigran.

“Ada yang kata ini gelombang hijau, gelombang Islam tetapi ia hanya gelombang fasis yang tidak sesuai dengan negara kita. Kita angkat madani kerana ia merangkumi semua,” kata ahli parlimen Gombak itu.

Kira-kira 4,000 perwakilan dan pemerhati menghadiri kongres bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme yang julung kali menampilkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.


Pengarang :