KLANG, 18 MAC: Seramai 127 kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2022 dalam majlis yang berlangsung di Dewan Hamzah di sini, malam tadi.
Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata acara tahunan itu bertujuan mengiktiraf dan menghargai khidmat bakti serta sumbangan warga kerja MPK yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang.
“Saya berharap semua penerima anugerah ini akan terus komited dan meningkatkan prestasi kerja masing-masing demi menaikkan lagi imej, kredibiliti, kecekapan tadbir urus yang baik serta memperbaiki penyampaian perkhidmatan MPK,” katanya.

Berucap pada majlis APC dan sanjungan budi MPK 2022 beliau berkata majlis sama turut memberi dua Anugerah Khas Yang Dipertua selain penghargaan kepada 25 pesara.
Turut hadir pada majlis itu Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Sementara itu, Ahmad Fadzli berkata beliau berharap agar pengiktirafan dan penghargaan seumpama itu menjadi pendorong dan penyuntik semangat kepada penerima untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkualiti, seterusnya menjadi contoh dan mentor terbaik kepada rakan sekerja yang lain.
