ADNSELANGOR

Hari Terbuka SMUE dan pendaftaran SADE di DUN Teratai hujung minggu ini

OLEH AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 3 MAC: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai akan menganjurkan Hari Terbuka Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan pendaftaran Skim Air Darul Ehsan di Dewan Komuniti Taman Muda di sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Penyelaras DUN Alice Tan berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran penerima SMUE DUN Teratai yang belum mengambil baucar Jom Shopping RM150 dan mereka yang belum mendaftar Skim Air Darul Ehsan (SADE).

“Berdasarkan statistik seramai 6,500 warga emas layak menerima baucar SMUE di DUN Teratai dan 2,961 orang masih belum mengambilnya sementara untuk SADE lebih 400 pemohon yang layak belum mendaftar.

“Jadi kita harap mereka menggunakan kesempatan program ini untuk amil baucar dan daftar SADE,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Alice program bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi penolong penyelaras Firdaus Babh di nombor 010-898 4552 atau 016-313 6399 (Alice).

“Untuk pendaftaran SADE pemohon mestilah rakyat Malaysia yang menetap di Selangor, pendapatan isi rumah bawah RM5,000, kediaman menggunakan meter individu. Sila bawa kad pengenalan dan bil air untuk pendaftaran.

“Untuk SMUE hanya warga emas yang telah mendaftar di DUN Teratai lebih tiga bulan dan belum mengambil baucar perlu datang,” jelasnya.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan syarat had kelayakan pendapatan isi rumah bagi penerima baucar Jom Shopping SMUE ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan mulai tahun ini.

Penerima juga bakal menerima baucar beli-belah RM150 setahun berbanding RM100 tahun lalu serta khairat kematian RM500.


Pengarang :