Jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon (dua, kanan) memberi arahan kepada pemain Harimau Malaya pada sesi latihan pasukan Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Pusat Latihan Johor Darul Takzim (JDT) pada 19 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Harimau Malaya mahu buktikan pasukan terbaik ketika bertemu Turkmenistan, Hong Kong

JOHOR BAHRU, 22 MAC: Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon sengaja memilih satu pasukan yang lebih kuat dan satu lagi yang setara dengan kekuatan skuad Harimau Malaya sebagai lawan semasa Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA dari 20 hingga 28 Mac.

Harimau Malaya, yang berada di ranking ke-145 dunia, akan bertemu Turkmenistan (ke-135) pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri malam esok, sebelum berdepan Hong Kong (ke-146) di venue sama, Selasa depan.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan berusia 53 tahun itu, berkata menerusi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 itu, pasukannya akan memperoleh sesuatu yang berharga daripada pasukan yang lebih kuat dan berpeluang mengekalkan momentum yang baik dalam memburu mata ranking FIFA.

“Bagi Turkmenistan, kami menerima tawaran mereka kerana saya fikir mereka kecewa apabila tewas 1-3 kepada kami pada aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu. Mungkin mereka mahu membuktikan mereka lebih baik dari Malaysia.

“Kami juga mahu membuktikan diri kami adalah pasukan yang lebih baik dari Turkmenistan. Saya rasa ia sepatutnya menjadi perlawanan menarik esok,” katanya pada sidang media praperlawanan tersebut di sini, hari ini.

Katanya, beliau tidak terlalu bergantung kepada keputusan malam esok, sebaliknya persembahan positif dan keutamaannya adalah falsafah bola sepak negara iaitu kualiti dan pendekatan taktikal yang konsisten.

Pada masa sama, beliau menyifatkan dua perlawanan persahabatan tersebut menunjukkan betapa bersungguh-sungguh pasukan negara membuat persiapan bukan sahaja untuk Piala Asia 2023 tetapi juga untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadualkan bermula November ini.

Sementara itu, Pan Gon mengakui beliau berdepan kesukaran untuk menentukan kesebelasan utama menentang Turkmenistan apabila kesemua 27 pemain termasuk lapan muka baharu kini berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk bermain malam esok.

“Pemain baharu menyesuaikan diri dengan baik..serta menunjukkan cita-cita dan keghairahan mereka untuk menjadi lebih baik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Saya pening untuk membuat senarai itu,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih itu teruja untuk mengharungi pengalaman baharu menguruskan pasukan pada bulan Ramadan yang dijangka bermula esok namun merasakan puasa tidak banyak memberi kesan kepada prestasi pemain dalam latihan mahupun perlawanan.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),Turkmenistan, yang dibimbing jurulatih baharu, Mergen Orazov, dijangka tiba di sini lewat petang ini dan tidak akan mengadakan latihan tetapi sebaliknya hanya memeriksa keadaan padang.

– BERNAMA


Pengarang :