Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
AGENDASUKANKINI

Harimau Muda julang Piala Merlion, tewaskan Hong Kong 2-1

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara melakar sejarah apabila menjulang Piala Merlion 2023 selepas menewaskan skuad B-22 Hong Kong, 2-1, dalam aksi final di Stadium Jalan Besar, di Singapura, malam ini.

Kemenangan itu menamatkan penantian 41 tahun Malaysia untuk mengungguli semenjak piala berkenaan diperkenalkan pada 1982, sekali gus memperbaharui pencapaian selepas sekadar berada di kedudukan tercorot pada dua edisi yang disertainya iaitu  pada 1982 dan 1985.

Skuad Harimau Muda jelas bermula garang apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu pihak lawan seawal minit kelima perlawanan apabila penyerang Muhammad Aliff Izwan cuba meledak gol namun berjaya ditampan penjaga gawang, Ng Wai Him.

Berbekalkan momentum sedia ada, skuad kendalian E. Elavarasan menggandakan serangan dan peluang terbaik tiba apabila rembatan Muhammad Azrin Afiq dari luar kotak penalti berjaya menggegarkan jaring pada minit ke-20, namun dibatalkan kerana disahkan ofsaid oleh pengadil.

Bersambung babak kedua, barisan muda negara terus mengasak skuad kendalian Szeto Man Chun apabila Muhammad Haqimi Azim menghantar bola silang kepada Muhammad Najumdin Akmal yang terus meledak gol pada  minit ke-57 namun jaringan Malaysia sekali lagi dinafikan pengadil buat kali kedua.

Tidak goyah dengan insiden itu, pemain simpanan yang dimasukkan pada babak kedua perlawanan Muhammad Najumdin akhirnya berhasil memecahkan kebuntuan jaringan menerusi tandukan padunya pada minit ke-74.

Lima minit berselang, pemain pertahanan Muhammad Safwan Mazlan terus mengecewakan pihak lawan apabila menambah jaringan jarak jauh, namun skuad kendalian Szeto Man berjaya merapatkan defisit menerusi Lau Ka Kiu pada minit ke-80.

Bagaimanapun, pada penghujung perlawanan berlaku ketegangan antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan Muhammad Haqimi dan Kong Maddox dilayangkan kad merah pada minit kecederaan namun keputusan kekal 2-1 sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Sementara itu, pada perlawanan sebelah petang, Kemboja menduduki tempat ketiga selepas mengalahkan tuan rumah Singapura, 2-1.

— BERNAMA

 


Pengarang :