Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Hayati sejarah Kesultanan Selangor di Muzium Insitu Jugra

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 24 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mempelawa orang ramai terutama pencinta sejarah berkunjung ke Muzium Insitu Jugra di Kampung Permatang Pasir, Banting.

Pelbagai maklumat termasuk sejarah Kesultanan Selangor di Kuala Langat serta hasil kerja ekskavasi antaranya struktur binaan penjara, mahkamah mini dan perigi lama ada di muzium itu.

Muzium yang dikenali sebagai Penjara Lama Jugra asalnya merupakan balai polis yang dibina pada 1878 semasa pemerintahan Sultan Abdul Samad sebagai pusat pentadbiran dan menjatuhkan hukuman berdasarkan sistem kehakiman British.

Tapak perigi lama antara yang dipamer di Muzium Insitu Jugra di Banting, Kuala Langat. Foto Facebook MPKL

Bangunan yang diwartakan sebagai tapak tanah bersejarah pada 19 November 2002 mempamerkan peralatan penjara, perigi lama dan kesan tapak cari gali arkeologi.

Muzium yang boleh dikunjungi secara percuma ini mempunyai tiga bilik pameran selain menyediakan tandas, surau dan kemudahan untuk orang kurang upaya.

Waktu melawat ialah pada jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Sabtu hingga Khamis) dan ia ditutup sementara pada jam 12.30 tengah hari hingga 2.45 petang (Jumaat).

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (Padat) melalui talian 03-5519 0050.


Pengarang :