Pengurus Kanan Korporat Hijrah Azrul Aziz ketika diwawancara Media Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 8 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hijrah buka dua bazar Ramadan, peniaga dipelawa mohon

SHAH ALAM, 8 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyediakan dua bazar Ramadan membabitkan dua lokasi di negeri ini bagi membantu peniaga menambah pendapatan sepanjang bulan berkenaan.

Pengurus Kanan Korporatnya Azrul Aziz berkata sebanyak 60 petak disediakan di Subang U3 manakala 30 petak lagi di Seksyen 7 berdekatan Restoran Al-Rawsha.

“Kita mengalu-alukan mana-mana usahawan yang tidak sempat untuk berdaftar bazar Ramadan bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), boleh memohon dengan kami.

“Permohonan masih dibuka, setakat ini belum ada tarikh tutup. Justeru, kita amat menyeru usahawan untuk segera memenuhkan petak dengan menjual juadah berbuka puasa,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, program di bawah Hijrah Tour Selangor (Hits) Ramadan itu julung kali diadakan bertujuan membantu usahawan menambah pendapatan ketika bulan tersebut.

“Setakat ini di dua lokasi terlebih dahulu, insya-Allah sekiranya sambutan memberangsangkan kita akan meneruskan di beberapa lokasi lain pada masa akan datang,” katanya.

Individu yang berminat untuk berniaga di bazar Ramadan itu boleh hubungi Bahagian Korporat Hijrah Selangor Zuraidi menerusi talian 018-3686 710 atau layari Facebook atau Tiktok Hijrah Official untuk maklumat lanjut.


Pengarang :