M Kamalesswaree Fiona, 35 melihat risalah Skim Hijrah Selangor ketika sidang media berkenaan pembiayaan khas kepada peniaga India sempena perayaan Deepavali di Bilik Mesyuarat Semarak Api Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah salur lebih RM52 juta, bantu 4,253 usahawan India setakat Mac

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 25 MAC: Seramai 4,253 usahawan India menerima manfaat menerusi pelbagai skim pembiayaan pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) setakat Mac ini.

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata pembiayaan lebih RM52 juta  itu diagihkan kepada golongan berkaitan bagi mengembangkan perniagaan menerusi tujuh skim iaitu i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.

“Inisiatif ini membantu mereka meneroka peluang menjana pendapatan dan menjadi usahawan mikro berkemahiran sekali gus meningkatkan sosioekonomi selain memastikan pembangunan komuniti India seiring kepesatan kemajuan negeri.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Normaiza Yahya. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Setakat ini 5,645 pembiayaan diberikan kepada kumpulan usahawan ini iaitu 45 peratus lelaki dan 55 peratus wanita,” kata Normaiza Yahya ketika dihubungi Selangorkini.

Sejak ditubuhkan pada 2015, Hijrah membantu 55,834 usahawan melibatkan peruntukan RM710 juta setakat November tahun lalu merangkumi modal perniagaan serta membesarkan perusahaan.

Belanjawan Selangor 2023 dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 25 November tahun lalu memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.

Pembiayaan di bawah inisiatif peduli rakyat itu boleh dimohon menerusi pautan http://mikrokredit.selangor.gov.my/e-hijrah/login dan maklumat lanjut di www.hijrahselangor.com .

NOTA: Paparan berita asal yang menyebut pembiayaan Hijrah berjumlah RM52,000 dalam perenggan dua tidak tepat, sebaliknya angka sebenar ialah RM52 juta. Kesilapan amat dikesali – Editor


Pengarang :