Usahawan Hijrah Selangor Jasmani Ag Alli menunjukkan kain Saree yang turut dijual di kedai pakaian dan tekstil Z Niey Empire Collections, Rawang pada 4 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hijrah tawar pinjaman modal tambahan, bantu usahawan kembang niaga

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 8 MAC: Dato’ Menteri Besar mempelawa usahawan negeri ini memohon Skim i-Bisnes yang menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata tawaran sempena Hari Raya Aidilfitri itu dibuka kepada mereka yang mempunyai perniagaan stabil menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Sempena Aidilfitri tahun ini, selain Skim i-Bermusim, usahawan Selangor yang telah mempunyai perniagaan stabil juga boleh memohon Skim i-Bisnes untuk bantuan kewangan lebih besar.

“Skim ini menawarkan modal tambahan sehingga RM50,000. Kerajaan Negeri menyediakan semua inisiatif ini untuk membantu anak-anak negeri menjana pendapatan melalui sektor keusahawanan,” katanya.

Menurut Amirudin, mana-mana anak negeri yang berminat, boleh dapatkan maklumat pembiayaan dan permohonan di www.hijrahselangor.com sekarang.

“Pengembangan sektor ini dapat memberi pulangan langsung kepada rakyat negeri selain mengukuhkan ekonomi,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan pada 25 November lalu memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.

Setakat ini, skim ditawarkan institusi pembiayaan itu kepada usahawan meliputi Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).


Pengarang :