Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat mesin CT Scan selepas merasmikan Hospital Cyberjaya di Sepang pada 9 Mac 2023. Turut berkenan berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hospital baharu kurangkan kesesakan pesakit, mudahkan rakyat dapat rawatan

SHAH ALAM, 13 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap pembukaan beberapa hospital awam baharu di negeri ini dapat mengurangkan kesesakan pesakit.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pembukaan hospital terbabit juga memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan rawatan sebaiknya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kesihatan merupakan antara aspek kehidupan rakyat yang menjadi keutamaan dan perhatian Beta,” titah baginda sempena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Pada 9 Mac, Sultan Sharafuddin berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya yang dibina dengan peruntukan sebanyak RM508.8 juta di kawasan seluas 12.8 ekar dan mula beroperasi pada 11 November tahun lalu.

Baginda juga berkenan merasmikan Hospital Tanjong Karang pada 9 Februari yang dibina atas tanah seluas 16.1 hektar membabitkan kos RM269 juta dan mula beroperasi sejak 10 Oktober tahun lalu.

Baginda turut menyambut baik langkah Kerajaan Negeri memperuntuk RM65.6 juta kepada sektor kesihatan awam pada tahun ini.

Titah baginda langkah berkenaan selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia yang mahu aspek kesihatan mendapat peruntukan antara lima hingga enam peratus daripada belanjawan.

Petugas kesihatan mengambil sampel darah pengunjung program Selangor Saringan sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Antara inisiatif yang menarik perhatian Beta ialah Saring Selangor. Pemeriksaan kesihatan percuma ini bagi membantu rakyat mengesan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi selain mata serta barah prostat, kolorektal, serviks dan mammogram.

“Sejak dimulakan pada Mei 2022, Beta difahamkan seramai 22,924 individu mendaftar di seluruh Selangor untuk menyertai program ini.

“Beta harap lebih ramai rakyat dapat mengambil bahagian dalam program ini sebagai satu bentuk pencegahan dan pengesanan awal,” titah baginda.


Pengarang :