SEPANG, 9 MAC: Kedudukan strategik Hospital Cyberjaya menjadikannya rujukan utama jika berlaku bencana di pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pusat perubatan itu juga memiliki banyak pakar untuk memberi perkhidmatan terbaik selain disokong peralatan dan teknologi canggih.
“Kementerian Kesihatan Malaysia sedang meneliti keperluan untuk menyediakan sebuah mesin imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Cyberjaya bagi menampung keperluan semasa.
“Hospital ini (juga berperanan) sebagai hospital rujukan bagi sebarang bencana di KLIA dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Teks ucapan itu dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni sempena majlis perasmian hospital tersebut di sini hari ini.
Dr Zaliha menambah Hospital Cyberjaya mampu membantu mengurangkan kesesakan di hospital berdekatan terutamanya Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.
“Kadar penggunaan katil di hospital awam di Sepang dan Hulu Langat terutama Hospital Kajang melebihi 90 peratus sementara Hospital Serdang dan Hospital Ampang lebih 80 peratus,” katanya.
Sebelum itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan hospital berkenaan, yang dibina dengan kos kira-kira RM508.8 juta.