SEPANG, 9 MAC: Hospital Cyberjaya yang beroperasi pada 11 November 2022 dijangka memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk Sepang dan kawasan sekitarnya.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dengan peruntukan RM508.8 juta dan dibina di kawasan seluas 12.8 ekar, Hospital Cyberjaya mempunyai kapasiti 288 katil dengan 14 perkhidmatan kepakaran disediakan secara berfasa sejak operasi dimulakan.

“Pada fasa pengoperasian awal perkhidmatan disediakan termasuk perubatan am, pembedahan am, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, perubatan kecemasan dan anastesiologi selain perkhidmatan sokongan klinikal iaitu patologi, radiologi serta diet dan sajian.
“Perkhidmatan lain yang bakal menyusul ialah ortopedik, oftalmologi, otorinolaringologi, psikiatri, rehabilitasi dan pergigian,” katanya dalam teks sembah ucapan sempena majlis perasmian Hospital Cyberjaya yang dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya.
Turut mencemar duli berangkat ke majlis perasmian DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Hospital Cyberjaya Dr Shahabudin Ibrahim.

Dr Zaliha berkata bagi mempertingkatkan dan memperluaskan perkhidmatan primer kepada penduduk setempat, Klinik Kesihatan Cyberjaya juga dibangunkan di dalam kawasan hospital.
“Ia sekali gus mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Dengkil yang terletak 22 kilometer daripada fasiliti ini,” katanya.