EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau bercakap kepada media selepas melakukan gimik pelepasan Kayuhan Menjunjung Kasih di Sime Darby Property, Bukit Raja Site Gallery, Klang pada 19 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hospital Kapar dijangka siap 2026, atasi kesesakan hospital Klang

KLANG, 19 MAC: Hospital Kapar yang akan mengatasi kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dijangka siap pada 2026.

Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau berkata perkara itu dimaklum Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni ketika soal jawab di Parlimen baru-baru ini.

“Hospital Kapar sangat berdekatan dengan kawasan ini (Bandar Bukit Raja) kalau dibangunkan ia akan kurangkan kesesakan yang amat teruk di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Saya bangkitkan perkara ini dalam Parlimen dan telah dijawab oleh timbalan menteri kesihatan bahawa Hospital Kapar akan disiapkan pada 2026,” katanya selepas menyempurnakan acara pelepasan Kayuhan Menjunjung Kasih 2022 di Galeri Jualan Sime Darby, Bandar Bukit Raja.

Peserta yang mengambil bahagian dalam Kayuhan Menjunjung Kasih di Sime Darby Property, Bukit Raja Site Gallery, Klang pada 19 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyertai kayuhan sejauh 50 kilometer bersama 938 peserta.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan hospital di Kapar mampu mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti awam untuk jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Ganabatirau yang juga EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata penyediaan infrastruktur dan pembangunan menambah lestari di Bandar Bukit Raja amat penting untuk penduduk di kawasan itu.

“Saya bawa banyak isu (Bandar Bukit Raja) ke Parlimen antaranya isu banjir dan kekurangan sekolah dalam kawasan ini sebab kita ada tujuh tapak (rizab sekolah) di kawasan Bukit Raja tetapi sekolah tidak terbina lagi.

“Namun minggu lalu Kementerian Pendidikan telah menjawab kepada saya, sekolah rendah akan dibangunkan dalam bajet tahun ini dan saya juga percaya sekolah menengah adalah antara yang terdesak untuk kawasan di sini,” katanya.


Pengarang :