EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Hospital Selgate Rawang dijangka beroperasi tengah tahun depan

SHAH ALAM, 16 MAC: Hospital pertama milik Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Hospital Selgate Rawang dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun depan.

EXCO kesihatan berkata projek menerusi kerjasama dengan Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) kini di peringkat akhir memilih syarikat pembinaan baharu.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, pemilihan kontraktor baharu dibuat selepas Selgate menamatkan kontrak dengan syarikat pemaju sebelum ini.

“Selgate akan melantik syarikat pembinaan baharu pada bulan hadapan dan penyambung pembinaan hospital ini akan mengambil masa setahun untuk disiapkan.

“Ia dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun 2024,” katanya ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini pembangunan Hospital Selgate Rawang yang sepatutnya siap pada 2019 tertangguh berikutan berdepan masalah kekurangan pekerja asing.

Hospital yang dibina di atas tanah seluas 2.7 hektar itu dijangka memanfaatkan hampir 800,000 penduduk di sekitar Rawang dan Gombak.

Sementara itu, Siti Mariah berkata PKNS kini merancang melantik pemaju tanah baharu bagi pembinaan hospital jantung di Seksyen 13 di sini.

“Pembinaan ini dikendalikan oleh PKNS yang pada awalnya melantik syarikat Binapuri Sdn Bhd sebagai pemaju tanah.

“Terkini, PKNS merancang melantik syarikat lain yang lebih berkemampuan untuk menggantikan syarikat ini,” katanya.

Pada 2017, IJN Holdings menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Selgate bagi melebarkan kepakarannya menerusi pembangunan Hospital Pakar IJN-Selgate.

Pusat perubatan pakar itu bakal dibina di atas tanah seluas 4.6 hektar dengan kos pembangunan sekitar RM250 juta.


Pengarang :