Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika sesi Taklimat Pelaksanaan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bersama pengamal media di bilik taklimat Jabatan Imigresen, Putrajaya pada 18 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Imigresen tahan 61 warga asing di perkampungan haram dalam ladang kelapa sawit

KLANG, 18 MAC: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 61 pendatang tanpa izin dalam satu operasi di sebuah perkampungan haram di kawasan ladang kelapa sawit di Taman Perindustrian Air Hitam di sini malam tadi.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata sebanyak 32 lelaki dan 29 perempuan warga Indonesia termasuk 18 kanak-kanak dan bayi berusia enam bulan ditahan dalam operasi yang bermula pukul 11.30 malam.

Beliau berkata hasil risikan mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak enam tahun lepas dengan menempatkan sebanyak 30 hingga 40 rumah yang dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air.

“Warga asing ini dipercayai menggunakan bekalan elektrik dan air curi serta tandas yang mereka bina juga terus disalurkan ke dalam sungai. Keadaan kawasan petempatan di situ sangat kotor dan tidak layak untuk didiami, saya khuathir ia akan memberi ancaman kesihatan.

“Saya juga sempat melihat cara kehidupan mereka di sini, ada yang bercucuk tanam seperti cili, ubi dan pisang serta memelihara ayam kampung bagi menyara kehidupan. Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci di kawasan sekitar,” katanya selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sini hari ini.

Beliau berkata ketika serbuan, lebih 30 penghuni dipercayai berjaya meloloskan diri dengan menyusuri muara sungai berdekatan.

Pemerhatian Bernama juga mendapati petempatan terbabit turut dilengkapi dengan surau, kedai runcit dan gelanggang badminton.

Khairul Dzaimee berkata serbuan itu dilakukan berdasarkan aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa terdapat petempatan tersorok didiami warga asing di dalam kawasan ladang kelapa sawit.

“Hasil aduan, anggota saya menyamar dan menggunakan dron bagi melihat keseluruhan kawasan ini. Kami mendapati terdapat sebuah petempatan asing di sini,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan semakan pihaknya, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tujuh daripada mereka memiliki Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang dikeluarkan Kedutaan Indonesia untuk pulang ke negera mereka semasa musim pandemik COVID-19.

“Kesemua mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata operasi itu melibatkan 195 anggota imigresen serta 10 pegawai Jabatan Pendaftaran dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA


Pengarang :