Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Inisiatif dalam belanjawan rapatkan jurang pendapatan

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Pelbagai inisiatif kepada golongan sasar dalam Belanjawan 2023 mampu merapatkan jurang pendapatan seterusnya membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha berkenaan termasuklah pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada lebih lapan juta isi rumah dengan peruntukan sangat besar.

“Kalau diamati buku panduan dan hasil dalam negara, kita akan dapat kenal pasti asas kepada permasalahan rakyat secara keseluruhannya seperti sebanyak RM98 bilion hasil negara disumbang cukai korporat dan RM30 bilion pula cukai-cukai individu serta pendapatan.

“Ini membuktikan bahawa cukai-cukai korporat dan syarikat-syarikat memberi sumbangan besar kepada kedudukan ekonomi negara berbanding individu dan cukai pendapatan rakyat. Pendapatan rakyat berada dalam keadaan kecil dan ada jurang besar antara mereka berpendapatan sangat tinggi serta sederhana dan rendah.

“Untuk menangani persoalan ini, saya percaya Tambun (Anwar) telah usulkan satu usaha menoktahkan kemiskinan tegar, meningkatkan pendapatan rakyat melalui beberapa inisiatif dan sumbangan termasuk meningkatkan penerima dalam kalangan STR,” katanya.

Kakitangan Parlimen sedang menonton Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berucap ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 di Parlimen hari ini, Amirudin menambah usaha itu antara lain berperanan mengurangkan bebanan dihadapi rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Jumaat lalu, ketika membentang Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan program STR dikemas kini dengan setiap isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 layak menerima sumbangan tunai.

Jelasnya, kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih yang disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan baucar barangan asas.

“Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100 yang akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima,”katanya.


Pengarang :