Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) merasmikan mesin vending menjual nasi lemak yang ditempatkan di Stesen LRT Cempaka yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (dua kiri) sempena majlis pelancaran Inisaitif Pendapatan Rakyat (IPR) di Ampang Jaya pada 26 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Inisiatif Pendapatan Rakyat beri peluang miskin tegar, B40 tambah mata pencarian

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) memberi peluang kepada isi rumah miskin tegar dan golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menambah mata pencarian sekali gus keluar dari belenggu kemiskinan.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada masa kini, keutamaan dan kepentingan tertumpu kepada usaha menjaga golongan berkenaan supaya tidak melarat menjadi B70.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Di bawah Kementerian Ekonomi, ada inisiatif IPR yang bukan hanya beri sesuatu kepada rakyat tetapi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan daripada segi pertanian, program penyelenggaraan kemudahan dan peniaga-peniaga kecil.

“Langkah ini wajar disokong semua dan diberi perhatian kerana percaya Kerajaan Perpaduan diwujudkan boleh selesaikan semua masalah berbanding teruskan perbalahan dan perbezaan yang tidak bawa kebaikan,”katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan kedudukan negara perlu dipulihkan daripada akarnya iaitu rakyat dengan menyelesaikan penggajian dan pendapatan mereka.

“Negara hendak masuk 2030 bermakna kita mempunyai lebih 30 tahun untuk menuju Malaysia 100 tahun. Jika dilihat, beberapa negara seperti Singapura yang dahulu menjadi pesaing telah jauh tinggalkan begitu juga beberapa negara dianggap lemah dan rendah kualiti kehidupan sudah melepasi kita.

“Mereka sudah melepasi paling tidak daripada sudut pencapaian ekonomi dan persepsi. Seperti Vietnam yang mendapat perhatian untuk sektor pembuatan yang aktif dan lebih menarik dan Indonesia yang telah menjadi hos G20 kumpulan negara maju serta beberapa projek seperti nusantara.

“Kedudukan negara kalau tidak dipulihkan akar pentingnya iaitu rakyat dengan selesaikan penggajian dan pendapatan, saya bimbang perbezaan ini menyebabkan kita terperosok,”katanya.

Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kiri) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (dua kanan) memotong reben melancarkan Inisaitif Pendapatan Rakyat di Ampang Jaya pada 26 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Sebelum ini, menteri ekonomi memperkenalkan tiga templat bawah IPR bagi mewujudkan ekosistem mampan kepada isi rumah miskin tegar dan B40 untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

Mohd Rafizi Ramli berkata tiga templat itu merangkumi Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) dengan sasaran 100,000 penerima  mendapat manfaat daripada IPR.

“Seramai 126,372 isi rumah miskin tegar berdaftar di dalam e-Kasih setakat ini selain 2.91 juta isi rumah di dalam kategori B40,” katanya ketika merasmikan melancarkan IPR di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka, Ampang Jaya pada 26 Februari.


Pengarang :