DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bergambar pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-69 di Istana Melawati, Putrajaya pada 6 Mac 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jakim bawah naungan MKI, ketua pengarah dilantik setiausaha

SHAH ALAM, 6 MAC: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilantik sebagai setiausaha Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Pelantikan itu diumumkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika mempengerusikan mesyuarat ke-69 badan itu di Putrajaya hari ini.

Baginda bertitah Jakim pula secara rasmi bertindak sebagai urus setia kepada majlis tersebut selaras pengenalan Peraturan-Peraturan MKI 2022 yang telah diperkenan.

“Ramai sudah lupa sejarah dan asal usul Jakim yang lahirnya di serambi istana. Kini dengan kembalinya MKI bawah naungan Raja-Raja Melayu, maka Jakim telah kembali ke serambinya.

“Bagaikan sirih pulang ke gagang. Telah jauh kita berjalan, berkali tersesat, tiba masanya kita baliklah ke pangkal jalan,” titah Baginda.

Sultan Selangor bertitah peraturan baharu MKI turut menjelaskan garis panduan struktur ahli yang dilantik khas mewakili kerajaan persekutuan dan negeri untuk menubuhkan jawatankuasa.

Fungsi jawatankuasa tersebut seperti berikut:

1. Jawatankuasa Muzakarah MKI: Dianggotai mufti dan alim ulama seluruh Malaysia, ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada 1970 dan pernah dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsaan

2. Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan: Dianggotai wakil negeri masing-masing yang dilantik Raja negeri itu, ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada 1983

3. Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan: Dianggotai wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri setelah mendapat perkenan Raja negeri itu serta pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri

4. Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan: Dianggotai ahli dilantik Majlis Raja-Raja yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang syarak dan sivil


Pengarang :