Petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Skuadron Ke 11 Rejimen Askar Jurutera Mekanize dan Skuadron Ke 8 Rejimen Askar Jurutera DiRaja giat menjalankan kerja-kerja pemasangan jambatan bailey atau jambatan panel keluli bermodular sepanjang 140 kaki di laluan FT2490 jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar yang runtuh akibat banjir pada 5 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jambatan Bailey di Felda Selancar dibuka hari ini untuk kenderaan ringan

KUANTAN, 7 MAC: Jambatan Bailey di jalan utama Felda Selancar dan Perwira Jaya di Rompin, hari ini dibuka satu lorong kepada semua jenis kenderaan ringan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi catatan di Facebook hari ini berkata had muatan kenderaan yang ditetapkan untuk menggunakan jambatan itu ialah 40 tan dengan had kelajuan 30km/j sahaja.

“Saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang disediakan dan berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Pembinaan jambatan Bailey sepanjang 42.67 meter itu bagi membolehkan penduduk meneruskan urusan perjalanan selepas jalan utama itu runtuh 1 Mac lalu, akibat limpahan air deras berikutan hujan lebat berterusan.

Runtuhan jalan yang dianggarkan 23 meter itu mengakibatkan kira-kira 12,000 penduduk setempat mengalami kesukaran untuk menuju ke bandar selepas jalan berkenaan ditutup bagi semua jenis kenderaan.

Jalan berkenaan menghubungkan penduduk Felda Selancar ke Segamat dan Muadzam Shah,

Pemasangan jambatan itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 80 petugas, selepas komponen jambatan itu digerakkan ke lokasi, Khamis lepas dari JKR Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan JKR Daerah Petaling, Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :