EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berucap ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat Sepang di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana pada 11 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah bantuan rakyat di tujuh lokasi dapat sambutan, hampir 30,000 pengunjung hadir

Oleh Norrasyidah Arshad

SEPANG, 11 MAC: Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) yang dianjur sejak Februari lalu di tujuh lokasi mendapat sambutan menggalakkan, kata EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

Menurut Rodziah Ismail sehingga siri ke tujuh hari ini yang berlangsung di pusat penjaja Taman Putra Perdana di sini, dianggarkan hampir 30,000 penduduk menyertai program berkenaan.

“Untuk program jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat sahaja hampir 1,000 pengunjung hadir di setiap lokasi. Program lain seperti Selangor Saring serta reruai pameran agensi juga mendapat sambutan. Pemimpin masyarakat turut memeriahkan program.

“Semua agensi terlibat turut menunjukkan komitmen untuk menyalur dan menghebah maklumat berhubung 45 inisiatif disediakan Kerajaan Negeri.,” katanya pada sidang media selepas melancarkan JKSP Sepang hari ini.


EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail melihat model Rumah Selangorku di Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat Sepang di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana pada 11 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Rodziah berkata program sama diteruskan esok di Desa Mentari, Petaling dari 9 pagi hingga 5 petang sebelum berakhir minggu depan di Sabak Bernam.

“JKSP akan diteruskan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk kita menghebahkan insiatif ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat,” katanya.

JKSP membuka tirai pada 18 Februari di Pangsapuri Seri Perantau, Klang yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau memaklumkan program yang dianjurkan bermula Jun tahun lalu akan berlangsung sehari di setiap lokasi dengan pengisian lebih padat.

Jelajah yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebelum ini dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta bagi memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail bertanya khabar pengunjung saringan kesihatan percuma Selangor Saring di Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat Sepang di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana pada 11 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :