Sebuah rumah terbakar dan mengorbankan empat kanak-kanak di Kampung Sabak Awor, Muar pada 29 Mac 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Jenazah empat beradik maut kebakaran rumah selamat dikebumi

MUAR, 30 MAC: Jenazah empat beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini malam semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini, malam ini.

Jenazah Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4; dan Fatihah Aisyah, 3; dikebumikan dalam satu liang lahat kira-kira 8.15 malam tadi.

Ibu bapa kanak-kanak berkenaan Nabila Sedu, 31; dan Thein Ko Htut, 30, kelihatan masih sugul dan tidak bermaya tatkala jenazah keempat-empat anak mereka disemadikan.

Terdahulu, keempat-empat jenazah disembahyangkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang turut disertai ahli keluarga dan keluarga terdekat sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Semalam, kesemua kanak-kanak tersebut ditemukan maut di bilik air di bahagian dapur rumah selepas rumah sewa yang didiami mereka terbakar sehingga 70 peratus.

— BERNAMA

 


Pengarang :