Peniaga air Zulkifli Johari bersyukur selepas perniagaannya mendapat sambutan sejak menyertai program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) ketika ditemui dalam program JER DUN Sementa pada 14 Mac 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah bantu peniaga naikkan jualan air pelbagai perisa

KLANG, 15 MAC: Seorang peniaga air meluahkan kesyukuran dan kegembiraan selepas jualannya mencecah lebih 200 cawan sehari sejak menyertai program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sejak awal tahun lalu.

Zulkifli Johari, 60, berkata sembilan perisa air dijualnya dan antara yang menjadi pilihan pelanggan adalah kopi Vietnam dan cappucino manakala teh hijau serta coklat bagi bukan penggemar kafein yang dijual pada harga dari RM5 hingga RM13.

“Saya menguruskan gerai kopi ini bersama seorang anak. Alhamdulillah sejak menyertai JER, jualan semakin meningkat hingga ratusan cawan dalam tempoh kurang empat jam.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kerana membenarkan kami mencari rezeki di sini,” katanya ketika ditemui pada program JER DUN Sementa di Balai MPKK Kerayong 2 di sini semalam.

Zulkifli mengakui sebelum ini perniagaannya pernah jatuh disebabkan pandemik Covid-19, namun kini dia kembali bangkit meneruskan jualan air pelbagai perisa dengan menggunakan jenama Kopi Goyang.

“Setakat ini lebih lima kali kami ikut program JER antaranya di Sementa, Meru, Kapar dan Kerayong, sekiranya tiada JER kami berniaga seperti biasa di Jalan Keretapi Lama, Klang dari Sabtu hingga Khamis mulai jam 11.30 pagi hingga 6.30 petang,” katanya.


Pengarang :