Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan harian menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Iman Kampung Ijok, Kuala Selangor pada 6 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah negeri, enam jenis barang keperluan habis tempoh tiga jam

Oleh Diana Abd Wahab

KUALA SELANGOR, 6 MAC: Semua enam jenis barangan keperluan asas habis terjual dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, hari ini.

Penolong Pengurus Kanan Permata Ehsan Nur Amirah Mahdan berkata jualan murah daging, ikan, ayam, telur, minyak masak, beras habis dalam tempoh tiga jam.

“Hari ini daging dan ikan menjadi barang paling laris terjual. Selalunya dalam program jualan murah yang dianjur sebelum ini ayam dan telur cepat habis.

“Memandangkan Ramadan akan tiba tidak lama lagi, mungkin orang ramai beli beras atau minyak masak untuk stok awal,” katanya ketika ditemui pada JER di Masjid Masjid Nurul Iman Kampong Ijok di sini, hari ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan harian menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Iman Kampung Ijok, Kuala Selangor pada 6 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyediakan 500 ekor ayam, 300 papan telur, 300 pek daging, 300 pek ikan,  300 kampit beras dan 150 botol minyak masak.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.

Petugas jualan membuat persiapan Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Iman Kampung Ijok, Kuala Selangor pada 6 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

 


Pengarang :