Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas di Jualan Ehsan Rakyat sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah sedia bekalan lebih banyak menjelang raya, penuhi permintaan ramai

SHAH ALAM, 17 MAC: Jelajah Ehsan Rakyat menyediakan bekalan ayam dan telur lebih banyak menjelang sambutan Aidilfitri nanti, kata EXCO pemodenan pertanian.

Ir Izham Hashim berkata langkah berkenaan bagi memenuhi permintaan dan keperluan ramai terutama umat Islam dalam menyediakan keperluan raya.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jualan sepanjang Ramadan berjalan seperti biasa namun jumlah produk ditingkatkan terutama menjelang raya. Jualan juga dibuat lebih besar dan meluas.

“Kita faham permintaan (raya) nanti lebih tinggi dan akan memenuhi keperluan penduduk,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menerusi soalan tambahan berhubung pelaksanaan program jualan murah berkenaan ketika Ramadan.

Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jualan barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dianjur di sembilan lokasi setiap hari kecuali Jumaat dari 9 pagi hingga 1 tengah hari sejak 15 Januari dan dijangka berakhir pada Mei.

Program menawarkan produk seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ikan kembung atau selayang dengan harga RM6 per pek, minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :