Pasukan MBSJ FC menjulang piala Liga Super Wanita FAS 2023 di Stadium MBPJ pada 19 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Juara Liga Super Wanita mahu wakili negeri rebut Piala Tun Sharifah Rodziah

PETALING JAYA, 20 MAC: Selepas merebut gelaran juara Liga Super Wanita FAS 2023, skuad bola sepak wanita MBSJ FC menaruh harapan untuk mewakili Selangor dalam kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah musim ini.

Ketua jurulatih Mohd Fairuz Mohd Noor berkata beliau sudah berbincang dengan pihak pengurusan berhubung perkara itu dan berharap ada berita baik buat pasukannya.

“Saya baru bincang dengan pengurusan untuk dapatkan slot Piala TSR (Tun Sharifah Rodziah). Saya tak tahu bila (kejohanan bermula) saya dengar mungkin Julai.

“Harap pihak pengurusan boleh realisasikan impian untuk (MBSJ FC) wakili Selangor untuk TSR,” katanya selepas perlawanan akhir Liga Super Wanita FAS 2023 di Stadium MBPJ semalam.

Mohd Fairuz berkata kemenangan kumpulannya dalam kejohanan itu adalah hasil komitmen tinggi pemain di samping strategi yang disusun.

“Alhamdulillah syukur pada Allah kami dikejutkan dengan gol awal oleh UPNM FC tetapi kami bangkit pada minit ke-23.

“Saya amat bersyukur dan bangga dengan semua pemain yang memberi 150 peratus komitmen dan hasilnya kejayaan pada petang ini,” katanya.

Pada aksi perlawanan akhir Liga Super Wanita semalam, MBSJ FC muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti 3-0 selepas terikat 1-1 dengan UPNM FC.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu dan menyempurnakan majlis penyampaian trofi dan hadiah.


Pengarang :