Tinjauan dari udara melalui helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sekitar Segamat mendapati beberapa kawasan perumahan dan laluan masih lagi terjejas akibat ditenggelami air pada 2 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa bah Johor meningkat kepada 33,149 orang pagi ini

SHAH ALAM, 3 MAC: Situasi bah di Johor terus memburuk dengan jumlah mangsa dipindahkan ke 217 pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 33,149 orang, setakat 8 pagi.

Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata hujan lebat berterusan di hampir semua daerah sejak petang semalam menyebabkan jumlah mangsa banjir terus meningkat, lapor Berita Harian.

Beliau memaklumkan daerah Segamat paling terjejas dengan jumlah mangsa melonjak kepada 12,186 orang disusuli Kluang yang merekodkan 5,174 penduduk dan Batu Pahat (4,340).

“Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk ke atas semua enam daerah membabitkan Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Mersing sehingga esok.

“Namun, kesemua 10 daerah negeri ini diramalkan akan terus mengalami hujan hari ini sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah,” katanya.

Beliau menjelaskan, jumlah mangsa bah di Kota Tinggi melonjak kepada 3,689 mangsa, Muar (2,829), Tangkak (1,999), Johor Bahru (1,216), Mersing (722), Kulai (630) dan Pontian (364).

Semalam, Dr Azmi dilaporkan berkata hujan lebat berterusan berserta fenomena air pasang menyebabkan keadaan banjir di negeri itu semakin buruk dan menjejaskan ramai penduduk.


Pengarang :