Saadiah Yusop, 60, dari Kampung Tasek berehat bersama cucu-cucunya yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu selepas banjir melanda beberapa kampung di Sungai Rambai, ketika tinjauan FotoBernama di sini pada 3 mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Johor, Pahang dan Melaka menurun malam ini

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Situasi banjir di Johor, Pahang dan Melaka menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa berkurangan malam ini berbanding petang tadi.

Di Johor, kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa pada 8 malam ini menurun kepada 43,856 orang berbanding 44,780 orang 2 petang tadi susulan penutupan lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, Mersing dan Tangkak.

“PPS ditutup di Segamat adalah Dewan Serbaguna Paya Pulai, Taman Suria Buloh Kasap dan Dewan Balai Raya Kampung Bukit Tunggal. Di Mersing membabitkan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kassan di Tangkak,” menurut JPBN.

Menurut kenyataan itu, PPS yang dibuka pada masa ini sebanyak 174 melibatkan enam daerah berbanding 179 pada 2 petang tadi.

Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 36,508 orang, diikuti Muar dengan 3,791 orang dan Tangkak 2,175 orang.

Di Pahang, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin semakin menurun malam ini dengan 1,804 orang ditempatkan di 12 PPS berbanding 2,122 orang di 15 PPS petang tadi.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya namun dengan trend menurun.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Jasin berkurangan kepada 484 orang daripada 126 keluarga pada 8 malam ini berbanding 523 orang daripada 141 keluarga pada 2 petang tadi.

Sekretariat JPBN Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua mangsa terjejas ditempatkan di lima PPS iaitu di SK Batu Gajah membabitkan 179 orang daripada 45 keluarga.

“Sebanyak 138 orang daripada 33 keluarga pula ditempatkan di SK Parit Penghulu manakala 25 orang daripada tujuh keluarga berlindung di SK Seri Mendapat.

“Di SK Sungai Rambai pula, mangsa terjejas adalah 85 orang daripada 19 keluarga sementara 57 mangsa daripada 22 keluarga pula berada di SK Parit Gantong,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :