Peniaga melakukan kerja pembersihan selepas banjir surut di sekitar Jalan Dato Sia Her Yam, Bandar seberang, Segamat pada 5 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun kepada 25,983 orang

JOHOR BAHRU, 17 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun kepada 25,983 orang setakat 4 petang ini berbanding 26,381 orang direkodkan pada 8 pagi tadi.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Agama Seri Comel di Senggarang, Batu Pahat menjadikan sebanyak 96 PPS beroperasi di daerah itu dan Segamat.

“Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 25,939 orang daripada 7,406 keluarga, manakala Segamat seramai 44 orang daripada 14 keluarga,” menurut JPBN petang ini.

Menurut jawatankuasa itu, Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat melepasi aras bahaya dengan bacaan 19.31 meter.

Cuaca di sembilan daerah cerah kecuali Segamat yang dilaporkan mendung ketika ini.

JPBN menyatakan lima jalan di Batu Pahat masih ditutup untuk kenderaan ringan kerana ditenggelami air dan hanya kenderaan berat dibenarkan melalui jalan tersebut.

Penutupan itu melibatkan Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung; Jalan Parit Jambi (Jambatan Parit Jambi); Jalan Haji Arif (Klinik Kesihatan Sri Medan); Jalan Parit Warijo (sepanjang jalan) dan Jalan Sri Bengkal (Kampung Sri Bengkal).

– BERNAMA


Pengarang :