Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli Datuk Rosli Isa (dua, kanan) menyerahkan replika cek bayaran imbuhan balik untuk program NRW 2021 kepada pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Abas Abdullah (kiri) di ibu pejabat Air Selangor, Kuala Lumpur pada 7 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kadar air tidak terhasil turun tiga tahun berturut, Selangor terima imbuhan RM362.4 juta

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya menurunkan kadar air tidak terhasil (Non-Revenue Water, NRW) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2019.

Menteri sumber asli berkata pencapaian itu melayakkan syarikat terbabit menerima imbuhan balik berjumlah RM362.4 juta daripada dana program yang diperuntuk bagi mencapai sasaran, lapor Bernama.

“Dari segi kos, perbelanjaan bagi tempoh tiga tahun untuk program NRW oleh Air Selangor melebihi RM558 juta,” kata Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur semalam.

“Ini juga bermakna, Air Selangor layak mendapat imbuhan balik berjumlah RM362.4 juta daripada kerajaan persekutuan bawah Program Pengurangan NRW Pendekatan 2 dalam tempoh tersebut.”

Di bawah program tersebut, Kementerian Sumber Asli akan memberi geran sepadan kepada syarikat operator air yang berjaya mencapai sasaran penurunan kadar NRW tahunan yang ditetapkan.

Kerajaan persekutuan akan membayar balik 50 peratus daripada perbelanjaan tahunan operator air untuk tujuan tersebut manakala bayaran balik 75 peratus jika pencapaian itu digandakan.

Sementara itu, Nik Nazmi memaklumkan tahap NRW Selangor memberi dampak amat besar kepada purata NRW negara, iaitu satu peratus menyumbang kepada penurunan kira-kira 0.3 peratus.

Menurutnya, ia berikutan Selangor mempunyai kadar pengeluaran air tertinggi sekitar 5,000 juta liter sehari (JLH) berbanding 15,100 JLH bagi seluruh Semenanjung dan Labuan.

Air Selangor berjaya menurunkan kadar NRW sebanyak 3.77 peratus, iaitu daripada 31.7 peratus pada 2019 kepada 27.93 peratus pada 2021.


Pengarang :