AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kadar zakat fitrah negeri ikut harga beras dimakan bermula dari RM7

SHAH ALAM, 15 MAC: Kadar zakat fitrah di Selangor pada tahun ini ditetapkan RM7, RM14 dan RM21 seorang mengikut harga beras yang dimakan, maklum Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurut agensi tersebut dalam kenyataan, kadar itu bersamaan harga timbangan satu gantang baghdad atau 2.6 kilogram beras yang dimakan kebanyakan umat Islam.

LZS menjelaskan kadar zakat fitrah RM7 seorang untuk individu yang menjadikan ‘super special’ sebagai beras harian dengan kadar minimum diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

“Kadar RM14 seorang daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi. Bagi kadar RM21 pula jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya.

“Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah
dilaksanakan oleh LZS sejak 2018 lagi,” maklum agensi itu.

Agensi itu turut memperkenal tiga jenis kupon fitrah berwarna bersandarkan nilai mata wang ringgit bernilai RM7 (hijau), RM14 (merah) dan oren bernilai RM21.

Zakat fitrah boleh dibayar melalui 2,642 penolong amil fitrah yang dilantik di seluruh negeri atau secara dalam talian melalui saluran terpilih untuk lebih pantas dan selamat.

Saluran bayaran zakat secara dalam talian seperti berikut:
1. EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
2. Perbankan internet
3. Portal MyEg
4. Pos Online
5. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

 


Pengarang :