Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja di Parlimen pada 23 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kahwin bawah umur halang potensi, RUU wajibkan belajar hingga sekolah menengah

SHAH ALAM, 8 MAC: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam fasa Rang Undang-Undang (RUU) untuk mewajibkan kanak-kanak melanjutkan pelajaran hingga sekolah menengah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi menangani keciciran pendidikan yang boleh menghalang potensi golongan itu akibat perkahwinan bawah umur, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan dasar pendidikan sedia ada wajib hanya sehingga tahun enam sahaja, sekali gus mewujudkan diskriminasi jantina dalam kalangan masyarakat.

“Dalam hal ini, kanak-kanak wajib berada hingga peringkat sekolah menengah. KPM juga boleh menampung pelajar yang berkahwin muda dan masih bersekolah untuk terus mendapatkan pendidikan.

“Ini termasuk golongan yang hamil ketika bersekolah,” katanya menambah kanak-kanak yang berkahwin awal tidak boleh didiskriminasi.

Sebelum ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa had umur minimum perkahwinan kanak-kanak perempuan ditingkatkan bagi mengelak keciciran dalam pendidikan.

Mengikut data pertubuhan tersebut pada 2022, terdapat sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak yang berkahwin usia muda setiap tahun.


Pengarang :