AGENDAJENAYAH

Kanak-kanak tiga tahun ditemukan maut dengan tangan, kaki terikat

LAHAD DATU, 12 MAC: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun daripada suku Pala’u ditemukan maut dengan kesan kecederaan di kepala, manakala kedua-dua tangan serta kaki kiri diikat dengan tali, di Kampung Panji di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Azmir Abdul Razak berkata polis menahan seorang lelaki warga asing berumur 30-an yang merupakan individu terakhir dilihat bersama kanak-kanak itu bagi membantu siasatan, dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang positif dadah dipercayai kurang siuman.

Beliau berkata mayat kanak-kanak itu ditemukan ibunya di kawasan semak kampung berkenaan pada pukul 3 petang, kira-kira tiga jam selepas kanak-kanak yang keluar rumah untuk bermain, dan polis turut menahan ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang merupakan warga asing berumur berumur 20-an dan 30-an bagi membantu siasatan.

“Selepas menerima panggilan MERS 999 dari orang awam, polis yang tiba lokasi menemukan mayat kanak-kanak itu dalam keadaan tangan terikat, dan kepala tersepit di antara dua pokok… kepalanya dipercayai dicederakan dengan menggunakan benda tajam, selain terdapat kesan torehan di kedua-dua belah tangan dan kaki kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azmir berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan maklumat dari sumber tidak sahih mengenai kes itu.

-BERNAMA


Pengarang :