Pengunjung membelek naskhah terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang dijual di Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Karya agung subur fikrah Islam

Sejak 2008, Selangor mendahului negeri lain dalam memajukan bidang pemikiran dan pendidikan.

Memiliki Universiti Selangor (Unisel) dan kini Universiti Islam Antarabangsa Selangor, negeri ini juga menawarkan pelbagai biasiswa dan bantuan pendidikan.

Bidang penerbitan dan kebudayaan turut dimajukan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) selain penganjuran Hadiah Sastera Selangor.

Projek terjemahan karya agung dunia Siri Pencerahan Selangor pula bermula 2016 dengan dana RM1.9 juta untuk menerbitkan 13 judul. Ia dijayakan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Syarikat terbabit menerima suntikan dana RM1.1 juta pada 2017, diikuti RM1.5 juta (2018), RM989,996 (2019), RM1 juta pada 2021 dan RM1.24 juta (2022).

Terjemahan buku judul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE)

Hasilnya, lebih 17 naskhah terjemahan tersebut laris di pasaran. Buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal tulisan Martin Lings misalnya terjual lebih 20,000 naskhah walau baru dua tahun diterbitkan.

“Apabila diterbit pada 2021, sambutan untuk naskhah ini amat menggalakkan,” kata Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi kepada Selangorkini pada 3 Mac.

Apa itu Tasawuf?, satu lagi terjemahan karya Martin atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin, turut mendapat tempat dalam kalangan ulat buku.

Tidak ketinggalan, tulisan Imam al-Ghazali berjudul Penyelamat Daripada Kesesatan, Ciri Pemisah antara Islam dan Zindik, Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam dan Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad turut mencuri perhatian.

Sejarah Selangor 1766-1939 antara buku terjemahan terkini Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd. Karya lain termasuklah Apa Itu Tasawuf? dan Gelagat dan Ragam Orang Melayu.

Setakat ini, IBDE menerbit 61 judul karya-karya agung dunia merangkumi falsafah, agama, biografi, politik, sejarah dan sastera.

Antaranya Sejarah Selangor 1766-1939; Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar; Strategi Rahsia China Gerak 100 Tahun atasi Amerika Syarikat; Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit dan Penawarnya; Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama dan Salahuddin Al-Ayubi: Raja Penakluk.

Karya klasik

“Jika dilihat pada senarai terjemahan kami, hampir 33 peratus terjemahan adalah karya agama. Terjemahan pelbagai bidang harus seimbang dengan majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam,” kata Farhan.

Usaha IBDE menerbit karya tokoh Islam menambah lagi koleksi bacaan agama berbahasa Melayu sekali gus menggalakkan wacana segar.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM1 juta kepada IBDE untuk menghasilkan terjemahan siri kitab Ilya’ Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali bermula tahun ini.

“Karya-karya agama klasik sangat penting diterjemahkan bagi memberi akses kepada pembaca untuk memahami karya-karya klasik agama yang mewarnai dunia hari ini,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 10 Ogos 2021.

Pembantu Akaun dan Tadbir Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Nur Rasyidah Azhar menunjukkan tiga buku terlaris terbitan syarikat itu di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 Shah Alam. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) kendalian PPAS pula mengetengah penerbitan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Kerajaan Negeri juga berusaha membantu penerbit dan penulis buku tempatan memasarkan karya  mereka ke luar negara. Amirudin turut menekankan kepentingan pengetahuan dan tidak hanya mengejar pembangunan material semata-mata.

Karya-karya terjemahan:

Buku Agama

  • Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal
  • Apa Itu Tasawuf?
  • Islam di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat
  • Imam di Kota Paris: Kembara Seorang Imam Di Kota Paris
  • Al-Ghazali – Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam
  • Al-Ghazali: Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik
  • Al-Ghazali: Al-Mustasfa: Intipati Ilmu Usul Fiqh
  • Al-Ghazali: Perihal Kesederhanaan dalam beriktikad
  • Mencari Belerang Merah: Kisah Hidup Ibnu Arabi
  • Amir Abdul Kadir: Sang Pendamai, Wali & Pahlawan
  • Al-Ghazali – Penyelamat Daripada Kesesatan
  • Islam dalam Politik dan Pendemokrasian di Indonesia
  • Huraian Al-Aqaid Al-Nasafiyyah
  • Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya
  • Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama
  • Salahuddin Al-Ayubi: Raja Penakluk
  • Manusia dan Alam Tabii: Kemelut Ruhani Manusia Moden
  • Imam Al-Ghazali: Hayat dan Jasa Ilmuwan Ulung

Buku Sejarah

  • Sejarah Selangor 1766–1939
  • Dari Sultan hingga Ataturk: Turki
  • Tunas Pemodenan Politik Turki
  • Anatomi Revolusi
  • Strategi Rahsia China Gerak 100 Tahun atasi Amerika Syarikat
  • Muhammad Ali: Raja Dunia Wira Amerika
  • Jose Rizal: Melayu Agung
  • Gelagat & Ragam Orang Melayu
  • Tunku: Kelana Penuh Cinta
  • Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar
  • Perang Dunia Pertama
  • Perang Dunia Kedua
  • Ladang Kebebasan
  • Perang Anjing Suruhan: darurat dan kekalahan komunis di Malaya 1948-60
  • Bintang Merah di Langit Malaya

Pengarang :