Pengarah Urusan KDEB Waste Management Dato’ Ramli Mohd Tahir (tiga kiri) bergambar bersama kakitangan yang menyertai Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa kedua bagi membantu pembersihan kawasan terjejas banjir di Labis Johor pada 8 Mac 2023. Foto Ihsan KDEBWM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KDEBWM hantar pasukan, lima lori bantu kerja pembersihan pascabanjir di Johor

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 8 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menggerakkan pasukan bagi misi bantuan banjir fasa kedua ke Labis, Johor hari ini.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata agensi itu menghantar lima lori Armroll atau Roll-On-Roll-Off (RORO) bersama 20 kakitangan untuk menyertai Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang bagi membantu pembersihan di negeri itu.

“KDEBWM sememangnya tidak asing lagi dengan kerja pembersihan pascabanjir susulan kerja pembersihan yang dilakukan pada Disember 2021.

“Semoga kerja pembersihan ini dapat meringankan beban pihak yang terlibat dengan kejadian ini,” katanya menerusi kenyataan.


KDEB Waste Management (KDEBWM) menghantar lima lori Armroll atau Roll-On-Roll-Off (RORO) menyertai Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa kedua bagi membantu pembersihan kawasan pascabanjir di Labis, Johor pada 8 Mac 2023. Foto Ihsan KDEBWM

Ramli berkata misi bantuan berkenaan diketuai Pengurus Kanan Operasi KDEBWM, Zulhazmi Musa dan Ketua Operasi KDEBWM Cawangan Shah Alam, Mohd Rizal Abd Karim.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri menggerakkan Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa kedua.

Misi membabitkan anggota pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Johor hari ini bagi membantu usaha pembersihan pascabanjir di negeri itu.

Pada 4 Mac lalu fasa pertama Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang diketuai Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Muhammad Hanafi Ahmad menghantar pelbagai barangan keperluan asas ke Johor.

Barangan tersebut seperti makanan, minuman, kit kebersihan, pakaian dan lampin pakai buang dihantar ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (Zon Selatan), Muar bagi memudahkan urusan pengagihan kepada mangsa banjir.

Sebanyak 1,000 makanan dan 1,000 kit kebersihan diserahkan termasuk 418 bakul makanan, 200 kampit beras lima kilogram, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, selipar, pakaian dewasa dan kanak-kanak serta air mineral.


Pengarang :