Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sebelum merasmikan Kongres Nasional Khas KEADILAN 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN jaga kebajikan semua kaum, bela nasib rakyat

SHAH ALAM, 18 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memilih menjaga kebajikan semua rakyat tidak mengira agama dan bangsa, tanpa memprejudis hak orang Melayu dan Islam.

Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu boleh dilihat menerusi pengumuman banyak bantuan rakyat terutamanya kepada pesawah dan pekebun kecil.

“Kita yang bukan pejuang Melayu tulen ini, tidak ambil duit dana dan masuk poket. Kami pilih untuk jaga kepentingan rakyat dan pesawah miskin.

“Saya percaya naratif ini. Kita pilih bela nasib rakyat, tidak guna kuasa untuk sogok pemimpin atau beli rakyat. Kita akan lawan mereka dengan prinsip ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional Khas KEADILAN, hari ini.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata KEADILAN menyediakan lebih peruntukan kepada negeri pantai timur termasuk Kedah dan Perlis dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini.

Menurutnya kerajaan sebelum ini tidak mengambil inisiatif untuk membela nasib petani kecil, selain tidak melaksanakan janji untuk menguatkuasa pindaan akta RUU355.

“Jangan guna sentimen kaum dan mengatakan kuasa hilang. Kamu pegang kuasa selama tiga tahun, mana RUU355, mana dana pembangunan untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah?

“Belanjawan tahun ini kita tingkatkan dana untuk mereka. Tiga tahun juga tidak pernah bertambah harga getah, kali ini kita tambah. Sampaikan maklumat ini,” katanya.

Kongres bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme di Stadium Malawati di sini, pertama kali menampilkan Anwar sebagai pemimpin nombor satu negara.


Pengarang :