Zanil Yusof, 67, (kiri) dan rakannya Hamid Hassan, 64, membersihkan kebun di tapak pertanian komuniti Surau Al-Sobah, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kebun komuniti jadi sumber kebajikan, beri asnaf sayur percuma

HULU LANGAT, 5 MAC: Pertanian Komuniti Surau Al Sobah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi di sini membantu golongan asnaf sekitar mendapatkan bekalan makanan berkhasiat daripada sumber sayuran.

Pengerusinya Prof. Datuk Mohd Yusof Kasim berkata kebun seluas dua ekar itu ditanam dengan pelbagai jenis sayuran dan ulam-ulaman untuk makanan harian sejak 2019.

“Pada mulanya memang kami mulakan kebun komuniti ini untuk bantu kira-kira 70 keluarga asnaf dalam kariah Surau Al Sobah tetapi kini hasilnya boleh membantu anak-anak yatim serta rumah orang tua sekitar Selangor.

“Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) hasil daripada kebun ini menjadi sumber makanan yang membantu asnaf sekitar mendapatkan bekalan sayuran.

“Malah ketika banjir melanda Kampung Sri Nanding Hulu Langat, komuniti Surau Al Sobah turut membantu menyediakan masakan hasil daripada sayur-sayuran di kebun ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Yusof berkata antara sayuran yang ditanam di kebun itu termasuk kangkung, bayam, ulam raja, pegaga, keladi, limau kasturi, serai, bunga kantan, petola, kucai selain pokok pisang dan tebu.

“Kini air tebu daripada kebun ini menjadi sumber infaq penduduk setempat yang mahu menyumbang.

“Selain membantu golongan asnaf dan memerlukan kebun ini juga mengeratkan silaturrahim antara penduduk setempat,” katanya.


Pengarang :