SHAH ALAM, 8 MAC : Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang cuti sekolah bagi mengisi masa lapang anak-anak.
Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata antara aktiviti disediakan adalah pelajar diberi peluang untuk membaca berita, membuat kek cawan, kelas robotik, kelas muzik dan mewarna.
“Semua aktiviti ini ditawarkan secara percuma. Hanya beberapa permainan sahaja memerlukan bayaran serendah RM5 seperti kelas masakan, kelas menjahit dan kelas kraftangan.
“Ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak mereka boleh melayari laman sesawang Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) untuk melihat jadual kemas kini aktiviti setiap hari,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, semua program terbuka kepada pelajar berusia lima hingga 17 tahun bermula 18 Februari hingga 18 Mac dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
Sementara itu, Mastura berkata pihaknya turut menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan antaranya Smart Solat, Tadarus al-Quran dan ‘Quran Hour’.
“Semua aktiviti ini akan dikemaskini dalam laman sesawang PPAS. Insya-Allah, pelbagai program dianjurkan kerana kita mahu masyarakat menjadikan perpustakaan ini sebagai rumah kedua mereka,” katanya.