Kerajaan Selangor juga menyalurkan bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga kurang berkemampuan yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Keluarga B40 di DUN Bukit Gasing dipelawa mohon bantuan RM300 sebulan

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 23 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing mempelawa keluarga berpendapatan rendah memohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

Setiausaha politik ahli dewan negeri (ADN) Bukit Gasing berkata setakat ini hanya 170 keluarga menerima bantuan bulanan RM300 sedangkan kuota untuk DUN tersebut ialah 506 keluarga.

“Permohonan boleh dibuat semasa program kaunter bergerak PKM DUN Bukit Gasing di Cabin Resident Association Seksyen 14/2, Petaling Jaya bermula 9.30 pagi hingga 12 tengah hari pada 25 Mac ini.

“Mereka juga boleh datang ke kaunter perkhidmatan PKM DUN Bukit Gasing di No. 27, Jalan 52/1, Petaling Jaya New Town pada waktu pejabat,’’ kata M Kusaaliny kepada Selangorkini.

BINGKAS adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program yang merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang itu membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun diagih menerusi aplikasi e-dompet Wavpay.

Syarat kelayakan pemohon BINGKAS ialah menetap lebih 10 tahun serta mengundi di Selangor, berpendapatan isi rumah bawah RM3,000, mempunyai bilangan anak bersekolah sekurang-kurangnya dua orang serta tidak menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).


Pengarang :