Kerajaan meluluskan bekalan sebanyak 50,000 komputer riba kepada sekolah-sekolah di seluruh negara pada 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian jangka agih 50,000 komputer riba kepada semua sekolah tahun ini

KOTA BHARU, 19 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses mengagihkan sebanyak 50,000 komputer riba bagi tujuan pembelajaran menggunakan buku teks digital kepada semua sekolah di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Pkharuddin Ghazali berkata bagaimanapun pihaknya sedang berbincang formula yang sesuai untuk mengagihkan bekalan itu supaya setiap sekolah dapat menerimanya.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali. Foto BERNAMA

“Kerajaan telah meluluskan bekalan sebanyak 50,000 komputer riba kepada sekolah-sekolah di seluruh negara pada tahun ini.

“Oleh itu, kita dalam proses untuk membuat agihan dan perolehan akan dilaksanakan sebelum bekalan itu diagihkan kepada semua sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan minggu pertama pembukaan sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di sini hari ini.

Sebanyak 1.53 juta pelajar, membabitkan 3,044 sekolah di negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahannya hari ini.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata penggunaan buku teks digital ini perlu disokong dengan peralatan komputer atau komputer riba secara dalam talian, yang pihaknya telah menghasilkan lebih 70 peratus buku teks digital untuk kegunaan pelajar sejak ia mula diperkenalkan pada 2021.

“Insya-Allah kita bergerak ke arah untuk melaksanakan dasar pendidikan digital dan ia dalam proses untuk dibawa ke peringkat Jemaah Menteri.

“Sekiranya diluluskan nanti hala tuju kita adalah ke arah pendidikan bersifat digital supaya anak-anak kita dapat sumber pembelajaran yang lebih menarik serta difahami dan pada masa sama memberi impak yang besar kepada kefahaman mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada KPM akan mengubah semula takwim sesi persekolahan tahun depan, Pkharuddin berkata pihaknya tetap berusaha untuk melihat ruang dan peluang untuk tempoh itu diawalkan.

“Kita memahami hasrat masyarakat, ibu bapa dan mungkin sebahagian daripada guru yang inginkan suasana pembelajaran bermula pada bulan Januari atas faktor tertentu.

“Mungkin mengambil sedikit masa, ruang kalau kita nak awalkan lagi kita perlu korbankan cuti dan cuti ini juga penting untuk memberi rehat kepada pelajar, ibu bapa dan guru tapi kalau cuti itu boleh dipendekkan mungkin 2024 nanti persekolahan akan bermula awal seminggu berbanding tahun ini,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :